
Usul tergempar hilang keyakinan pada perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang dibawa oleh ahli-ahli parlimen Pakatan Rakyat ditolak sebentar tadi. Yang dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia menolak usul yang difailkan oleh ketua pembangkang Dr Wan Azizah Wan Ismail. Susulan keputusan yang dipertua dewan, semua anggota parlimen PKR, DAP dan PAS meninggalkan dewan beramai-ramai dan memulau sesi persidangan sepanjang hari hingga petang ini.
Difahamkan sebahagian ahli parlimen PKR hadir di rumah penasihat parti itu Datuk Seri Anwar Ibrahim - yang dipanggil polis bagi
siasatan dakwaan liwat terhadapnya - di Bukit Segambut, Kuala Lumpur. Bagaimanapun mereka dipercayai sedang membincangkan isu-isu yang akan dibawa ke Dewan Rakyat esok.
Antara lain, usul tersebut menyatakan bahawa pilihanraya umum ke-12 menyaksikan tsunami politik apabila lima negeri dan Wilayah Persekutuan jatuh ke tangan Pakatan Rakyat dan BN gagal mempertahankan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.
Menurut usul lagi, BN mencapai kemenangan tipis dengan memanipulasi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dan melalui pembohongan.
Harga minyak pula, tambahnya, dinaikkan dengan tiba-tiba selepas pilihanraya walaupun timbalan perdana menteri Datuk Seri Najib Razak - ketika melancarkan manifesto pilihanraya - berjanji ia tidak akan berlaku.
Manakala ahli-ahli parlimen BN, katanya, yang menolak sikap tidak bertanggungjawab pemimpin mereka, telah diancam dan dipaksa berdiam diri.
Perkembangan tersebut, tambahnya, telah menimbulkan krisis keyakinan terhadap perdana menteri dan anggota kabinetnya. Rakyat, menurut usul itu lagi, berdepan dengan beberapa krisis seperti kenaikan harga bahan bakar makanan.
Menurutnya lagi, keyakinan rakyat terhadap polis, peguam negara dan badan kehakiman telah merosot, dan jenayah dan rasuah semakin meningkat.
0 ulasan:
Post a Comment