BERSATU, BERSETIA, BERKHIDMAT

About Me

My photo
Blok 15 B/3, SEDC Flat, 81700 Pasir Gudang, Johor, Malaysia


Cawangan ini menubuhkan penajanya pada 6 Ogos 2005 dan dirasmikan pada 23 Julai 2006 oleh Tn. Hj. Ahmad bin Daud, Naib Ketua UMNO Pasir Gudang bagi mewakili Y.B Datuk Seri Hj Mohd Khaled bin Hj Nordin, Ahli Parlimen Pasir Gudang merangkap Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang. Cawangan Rumah Pangsa Peringkat 1 merangkumi kawasan rumah pangsa bermula dari blok 1 hingga 24, Perumahan 69 dan Perumahan Bakti.

Friday, June 13, 2008

Mekanisme Penstrukturan Semula Subsidi Minyak Untungkan Semua Pihak

Menteri Perdagangan Dalam negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad berkata, mekanisme penstrukturan semula subsidi minyak petrol dan diesel akan dapat mengimbangi kesan kenaikan harga di pasaran. Beliau menjelaskan bahawa mekanisme yang digunakan adalah melalui sistem sedia ada iaitu pembayaran atau pembaharuan cukai jalan bagi memastikan pelaksanaannya cepat dan selamat.

Kajian terhadap harga petrol dan diesel terbaru pasaran tempatan itu akan dikaji semula pada Mac tahun depan, iaitu selepas kerajaan selesai membuat pembayaran subsidi RM625 kepada setiap pemilik kenderaan persendirian yang layak.

Dalam langkah penstrukturan semula subsidi bahan api yang diumumkan 4 Jun lalu, kerajaan memperkenalkan bayaran rebat RM625 yang diberikan kepada pemilik kenderaan yang layak bagi mengimbangi kenaikan harga petrol dan diesel yang dinaikkan kepada RM2.70 seliter dan RM2.58 seliter.

Bayaran RM625 setahun itu hanya terhad kepada pemilik kenderaan persendirian berkapasiti enjin sehingga 2000cc serta trak pikap dan jip berkapasiti enjin sehingga 2500cc. Pemilik motosikal persendirian berkapasiti enjin sehingga 250cc pula akan menerima bayaran tunai sebanyak RM150 setahun. Bayaran tunai itu akan dibuat oleh Kementerian Kewangan apabila pemilik kenderaan dan motosikal membayar atau memperbaharui cukai jalan.

Bayaran tersebut meliputi kenderaan yang cukai jalannya diperbaharui antara 1 April 2008 hingga 31 Mac 2009. Tindakan penstrukturan semula mekanisme pemberian subsidi ini disebabkan harga minyak mentah dunia melonjak tinggi di pasaran. Jumlah permintaan minyak mentah dunia lebih tinggi daripada jumlah pengeluaran sebanyak 1.03 juta tong sehari (85.72 – 84.69)

Akibat daripada keadaan tidak menentu di negara-negara pengeluar minyak utama seperti Iraq dan Iran menyebabkan berlakunya tekanan kepada pengeluaran minyak mentah dunia dan keadaan ini diburukkan lagi dengan krisis ekonomi di Amerika Syarikat yang menyebabkan ramai pelabur-pelabur membuat pembelian masa hadapan bagi melindungi pelaburan mereka.

Monday, June 2, 2008

PKR?? Apa dah jadi??

Berita kemasukan semula bekas Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamad Ezam Mohd Nor kepada UMNO telah mula ‘bertiup’ khabar sejak beberapa minggu lalu sama ada di dada-dada akhbar mahupun media massa yang lain.

Walaubagaimanapun, berita tersebut disahkan apabila Ezam pada hari Rabu lalu (28.05.08) bertemu dengan Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi di pejabatnya di Parlimen bagi menyerahkan borang keahlian. "Kemasukan Ezam, tak ada syarat apa-apa, boleh terima dah, tak ada keistimewaan apa-apa, dia pun tak minta jawatan apa-apa. ”Dia hanya mahu berkhidmat dan berjuang dalam parti," kata Perdana Menteri. Beliau yang juga Presiden UMNO turut mengatakan bahawa Majlis Tertinggi (MT) UMNO tidak membantah kemasukan semula Ezam ke dalam UMNO.

Beliau turut mengulas bahawa kemasukan Ezam sedikit sebanyak mampu membantu kepada kekuatan UMNO. Di dalam sidang media itu, Ezam menyerahkan borang permohonan menjadi anggota UMNO seumur hidup berserta dengan yuran RM100 kepada Presiden parti dan kemudiannya diserahkan kepada Setiausaha Kerja UMNO, Brig. Jen. (B) Dato’ Husainay Hashim.

Perdana Menteri berkata bahawa semasa di luar UMNO, tentulah Ezam menjadi kritikal dengan apa yang berlaku dan kini beliau sudah bertukar fikiran. "Mungkin kerana dia insaf serta sudah berada di kedua-dua belah pihak, mungkin UMNO adalah lebih baik untuk menjadi landasan perjuangannya. "Patut kena tanya dia (perkara ini), keistimewaannya ialah dia sudah berada di parti lain di bawah kepimpinan lain dan dia berasakan UMNO adalah lebih baik, itu yang istimewanya," katanya. Ditanya sama ada UMNO boleh menerima anggota lain daripada PKR yang mahu mengikut jejak langkah Ezam, beliau berkata UMNO akan melihat dulu perkara itu dan melihat individu itu terlebih dahulu. Dalam mengulas perkara yang sama, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Timbalan Presiden UMNO berkata bahawa penyertaan semula Ezam itu juga sebagai bukti bahawa beliau yakin dengan kredibiliti UMNO sebagai wadah perjuangan yang sebenar. "Kita mengalu-alukan hasrat Saudara Ezam Mohd Noor untuk masuk sebagai ahli UMNO. ”Jelas sekali bahawa Saudara Ezam yakin bahawa UMNO adalah wadah perjuangan yang sepatutnya dia sokong dan sekaligus bererti bahawa dia sudah hilang keyakinan dengan parti PKR," katanya yang juga selaku Timbalan Perdana Menteri.

Mengulas lanjut, beliau berkata sejarah perjuangan parti membuktikan bahawa UMNO telah menerima semula banyak pihak yang menentang mereka, justeru penyertaan semula Ezam bukan merupakan satu isu. Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein pula berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Ezam bagi membincangkan manfaat kemasukannya itu, keikhlasan dan peranannya dalam parti.

Sebelum ini, beliau pernah mengatakan pendirian yang sama mengenai perkara tersebut. Berbeza dengan pandangan Dato’ Mukhriz Mahathir, Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia yang berlainan nada berpendapat kemungkinan Ezam mempunyai agenda tersendiri apabila kembali menyertai UMNO. Tambahnya yang juga ahli Parlimen Jerlun, beliau sehingga kini masih samar-samar mengenai tindakan itu kerana Ezam seperti diketahui mempunyai 'sejarah tersendiri' sewaktu berada dalam UMNO mahupun di luar parti. ''Saya risau apakah kemasukan Ezam menjadi satu petanda awal bahawa bekas Timbalan Presiden UMNO, Dato’ Seri Anwar Ibrahim akan kembali menyertai UMNO," katanya.

Sebelum menyertai Parti Keadilan Nasional (sebelum PKR diwujudkan) pada 1999, Ezam, 41, adalah Ketua UMNO Bahagian Petaling Jaya Selatan dari 1993 hingga 1996, Penolong Setiausaha Pemuda UMNO Negeri Selangor dari 1996 hingga 1998 dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Petaling Jaya Selatan.