BERSATU, BERSETIA, BERKHIDMAT

About Me

My photo
Blok 15 B/3, SEDC Flat, 81700 Pasir Gudang, Johor, Malaysia


Cawangan ini menubuhkan penajanya pada 6 Ogos 2005 dan dirasmikan pada 23 Julai 2006 oleh Tn. Hj. Ahmad bin Daud, Naib Ketua UMNO Pasir Gudang bagi mewakili Y.B Datuk Seri Hj Mohd Khaled bin Hj Nordin, Ahli Parlimen Pasir Gudang merangkap Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang. Cawangan Rumah Pangsa Peringkat 1 merangkumi kawasan rumah pangsa bermula dari blok 1 hingga 24, Perumahan 69 dan Perumahan Bakti.

Saturday, February 20, 2010

Asal Usul Perwatakan Melayu ( Bahagian 1 )


Apabila berbicara perihal psikologi bangsa Melayu, kita harus membicarakan dua perkara pokok, iaitu identiti asal orang Melayu serta faktor-faktor yang mempengaruhi pembentukannya, dan faktor-faktor yang telah mengubah atau yang akan mengubah perwatakan bangsa Melayu. Perbincangan ini cuba mengupas pandangan beberapa cendekiawan Melayu berkenaan permasalahan dan cabaran orang Melayu dalam pembentukan personaliti ‘Melayu Kelas Pertama’.

Melayu tradisional adalah satu bangsa yang amat menekankan nilai-nilai sosial. Nilai-nilai ini dipupuk sejak di peringkat kanak-kanak bagi memastikan kelakuannya bersesuaian dengan kehendak masyarakat. Konsep ‘malu’, ‘harga diri’ dan ‘maruah’ mempunyai kepentingan sosial dan nilai-nilai ini dipertahankan habis-habisan.

Orang Melayu dahulu juga dikenali sebagai bangsa yang berbudi bahasa dan hormat menghormati, terutamanya terhadap orang yang lebih tua dan pemimpin mereka. Penekanan terhadap adab dan kesopanan dapat diperhatikan dalam kehidupan beraja. Dalam Sejarah Melayu, dinukilkan betapa pentingnya seorang Sultan atau anak Raja memiliki akhlak yang mulia.

Bakal Sultan dilatih dan dididik agar berketrampilan di mata masyarakat. Di samping meneruskan satu imej sejak turun-temurun, maruah juga dipertaruhkan. Persepsi masyarakat ketika itu, seorang Sultan yang baik adalah Sultan yang mempunyai adab di samping sifat kebijaksanaan.

Budaya dan identiti masyarakat Melayu ketika itu dipengaruhi oleh beberapa faktor, dan yang paling utama adalah kedatangan Islam ke alam Melayu. Kedatangan Islam ke Asia Tenggara pada kurun ke-14 telah membawa perubahan ketara dalam peradaban masyarakat Melayu. Menurut Profesor Syed Muhammad Naquib al-Attas, agama Islam sebenarnya telah mewujudkan identiti bangsa Melayu yang tersendiri.

Meneliti sejarah Kesultanan Melayu Melaka, kita akan mendapati permulaan satu bangsa Melayu yang bertamadun. Bermula dengan Islamnya pemimpin Melayu ketika itu, dan tindakan itu kemudiannya diikuti oleh sekalian rakyat jelata. Orang Melayu juga amat menyanjung dan menghormati golongan alim ulama dan tokoh agama. Guru-guru di zaman awal kemerdekaan dianggap sebagai profesion yang amat mulia dan disanjung tinggi.

Kehalusan budi orang Melayu yang disulam dengan keiklasan iman turut diabadikan di dalam perkataan ‘budiman’ yang mencantumkan makna budi dan iman. Budaya dan tradisi bangsa Melayu bukan sekadar disesuaikan dengan ajaran Islam, bahkan budaya itu sendiri dibina berasaskan nilai-nilai Islam. Tidak keterlaluan jika dikatakan sistem nilai orang Melayu hampir keseluruhannya dibentuk oleh Islam.

0 ulasan: