
Antara sikap yang diperincikan Tun Dr. Mahathir adalah sikap ‘easy going’ atau sikap ‘tak mengapa’ yang menyebabkan bangsa Melayu terkebelakang dalam bidang perniagaan berbanding bangsa Cina. Sikap ini juga menyebabkannya mudah dieksploitasi dan menyerah kalah. Orang Melayu juga sering mahukan keuntungan segera serta tidak tahu menilai wang. Perkara yang sama telah diungkapkan oleh Profesor DiRaja Ungku Aziz iaitu orang Melayu hanya tahu sesuatu perkara itu banyak atau sedikit tetapi tidak tahu nilai nombor tersebut.
Dalam buku The Way Forward, Tun Dr. Mahathir telah menyalahkan penjajah di atas sikap negatif orang Melayu. Dasar pecah dan perintah British telah melemahkan masyarakat Melayu dari segenap penjuru. Berbeza pula dengan pandangan Datuk Dr. Hassan Ahmad, bekas Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, yang percaya sikap malas bekerja, suka berpesta dan berpoya-poya orang Melayu adalah ciptaan penjajah Barat yang memandang rendah terhadap masyarakat Melayu atau dalam istilah mereka ‘the natives’ yang merujuk kepada masyarakat yang tidak bertamadun. Persepsi negatif terhadap orang Melayu ini pula terus dipegang oleh orang Melayu sendiri sehingga hari ini.
Menurut Dr. Sidek Fadzil, rasa tidak selamat terhadap kuasa Barat turut mendorong orang Melayu menjadi lebih Islamik. Maka sekitar 1950-an muncul nama-nama seperti Dr. Burhanuddin al-Helmi, Pendeta Za’ba dan Profesor Zulkifli Muhammad, cendekiawan Melayu berfahaman Islam moderat yang menyemarakkan kebangkitan semula orang Melayu. Mereka adalah antara tokoh-tokoh orang Melayu yang menentang kehadiran British di Tanah Melayu ketika itu. Kesedaran untuk mengubah nasib bangsa ini sekali lagi disemarakkan oleh sentimen kebangkitan Islam selepas kejatuhan Khalifah Turki Uthmaniah
0 ulasan:
Post a Comment